APMT @GEMPADAH
APMT buka gerai semakan pendaftaran pilihanraya
KUALA BESUT – Kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) mampu melaksanakan pelbagai tugas, termasuk menguruskan proses semakan dan pendaftaran pemilih.
APMT Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, misalnya mengambil langkah proaktif membuka gerai semakan dan pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi membantu orang ramai melakukan urusan berkaitan.
Ketua Penyelia APMT Kuala Besut, Norazila Mohamad berkata, respons orang ramai amat baik ketika kali pertama APMT DUN ini membuka gerai daftar pemilih dalam satu program di Kampung Air Terjun.
Menurutnya, seramai 30 orang mendaftar sebagai pemilih pilihan raya pada majlis berkenaan dan jumlah itu dianggap ramai memandangkan ia hanya membabitkan penduduk kampung tersebut sahaja dan diadakan pada sebelah malam.
“Kami bekerjasama dengan Pegawai Pendaftar Sementara (PPS) dan membantu orang ramai mendaftar sebagai pemilih selepas dilakukan semakan mengesahkan mereka belum mendaftar. “Pendaftaran dilakukan secara talian terus dengan SPR,” katanya yang dibantu 16 kakitangan APMT.
Norazila berkata, program seperti itu akan diteruskan pada masa-masa akan datang dengan kerjasama JKKK atau mana-mana agensi yang ingin mengadakan sebarang majlis.
** Sumber: www.sinarharian.com.my